Profil

Kelab Silat Gayong PLKU
Pusat Latihan Kajang Utama

Sejarah Awal

Silat Seni Gayong Malaysia mula berkembang di kawasan Kajang sekitar tahun 1967, bermula di Sungai Kantan, Kajang.  Ianya terus berkembang dibeberapa tempat termasuk di Institut Pengajian Tinggi (IPT).  Setelah gelanggang-gelanggang IPT makin bertambah dan ramai pesilat tamat pengajian dan meneruskan kerja masing-masing, maka tidak ada pelapis gurulatih di kawasan Kajang-Bangi.

Atas inisiatif Cikgu Idris Bin Shafie (Penyelaras I), beliau telah mengumpulkan semula ahli Silat Seni Gayong Malaysia IPT serta ahli-ahli Silat Seni Gayong Malaysia senior lain untuk berbincang dan mencapai kaedah untuk menguatkan institusi pembantu gurulatih dan gurulatih.

Pada tahun 2002, satu mesyuarat telah diadakan di rumah Prof. Madya Dr. Zainal (Penyelaras II) dan kata sepakat telah dicapai di mana mereka telah bersetuju untuk mewujudkan satu kumpulan gurulatih di kawasan Kajang yang pada waktu itu bermula dengan keahlian seramai 13 orang.

Tujuan usaha ini diwujudkan adalah untuk menguatkan kumpulan gurulatih lama dan seterusnya menambah gurulatih baru disamping cuba memanfaatkan kepakaran gurulatih sedia ada untuk kebaikan Silat Seni Gayong Malaysia.

Latihan pertama telah diadakan di Dataran Dato’ Mohd Said Commercial Centre, Rinching Tengah, Beranang, Selangor.  Dato’ Mohd Said waktu itu adalah Pengerusi Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Daerah Hulu Langat.

Selepas itu, latihan telah dipindahkan ke gelanggang UKM untuk jangka masa lebih kurang satu tahun.  Cikgu Idris berpendapat bahawa perlunya bagi kumpulan ini mempunyai tempat sendiri untuk tujuan latihan gurulatih, mesyuarat, berkumpul, mengadakan pelbagai kursus dalaman serta sebagai asrama anak-anak Gayong.

Pada 26 Mac 2004 termeterailah perjanjian penyewaan kedai.  Maka tarikh itu merupakan tarikh wujudnya gelanggang dan juga Pusat Latihan Kajang Utama (PLKU).

Setelah sepuluh tahun, PLKU bergerak aktif sehingga mempunyai 44 orang gurulatih dan pembantu gurulatih serta 37 gelanggang.  PLKU telah dikenali diseluruh Negeri.

Bagi tujuam mengukuhkan lagi sistem pentadbiran dan pengurusan, PLKU telah berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan Malaysia dan dikenali dengan nama KELAB SILAT GAYONG PLKU dengan mengekalkan singkatan nama PLKU. Kelulusan pendaftaran Kelab ini diperolehi pada 11 MAC 2010 dengan no pendaftaran APS 3568/2010.  Pada 12 April 2013, Pesuruhjaya Sukan Malaysia telah meluluskan penukaran nama Kelab ini kepada KELAB SILAT OLAHRAGA PLKU dengan mengekalkan singkatan nama PLKU

Sebagai Kelab NGO, maka Kelab ini juga telah berdaftar dengan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan telah mendapat kelulusan pada 9 Februari 2013 dengan mengekalkan nama asal KELAB SILAT GAYONG PLKU dengan no pendaftaran PPM-009-10-09022013.

PLKU kini …

Telah banyak perkembangan dan kejayaan yang dicapai oleh PLKUKumpulan gurulatih mula bertambah ramai dan PLKU telah mula dikenali dan dikhtiraf masyarakat.  Selain itu, persatuan-persatuan silat dan seni mempertahankan diri lain juga telah mula mengenali PLKU.

Sehingga kini setelah dikemaskini semula, PLKU mempunyai 37 gelanggang cawangan dikelolakan oleh gurulatih-gurulatih PLKU dengan jumlah keahlian yang melebihi 1,000 orang.  Gelanggang-gelanggang tersebut terdiri daripada gelanggang gurulatih, gelanggang IPT, sekolah rendah dan menengah, kanak-kanak dan juga dewasa.

PLKU telah bertahan sehingga ke hari ini hanya dengan usaha dan sumber kewangan sendiri melalui yuran ahli-ahlinya.

Kegiatan PLKU lebih meluas di mana aktiviti asasnya adalah:-

1.                  latihan ahli dan gurulatih;
2.                  ujian kenaikan bengkong;
3.                  demonstrasi (persembahan); dan
4.                  kursus dan bengkel. 

  Penglibatan lain adalah:-

1.              menyerapkan ahli dewasa menjadi ahli Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) (telah melebihi 100 orang) dan mengikuti kursus menembak RELA;
2.                  mengajar teknik beladiri kakitangan syarikat sekuriti (Muhibbah Security dan TESCO security);
3.                  pengambaran animasi silat (Syarikat NetCarbon);
4.                  Penubuhan Tabung Ehsan Gayong (TEG) bagi tujuan kebajikan gurulatih dan ahli

dan berbagai aktiviti lain yang disumbangkan oleh KELAB SILAT GAYONG PLKU.

PLKU mempertahankan kualiti pelajaran Gayong serentak dengan itu memantapkan sistem pengurusan dan pentadbiran.  Maklumat yang lebih terperinci didokumenkan dalam Profil PLKU sebagai satu dokumen asas Kelab ini.

PLKU akan terus maju untuk memartabatkan seni silat warisan Melayu iaitu Silat Seni Gayong Malaysia.


______________________________________________________________________________

PLKU Kini