Program Ukhwah Dan Ujian Kenaikan Bengkong Hitam Harimau Pelangi Chula Sakti

22/4/2018 - "Program Ukhwah Dan Ujian Kenaikan Bengkong Hitam Harimau Pelangi Chula Sakti"
Alhamdulillah, program silaturahim antara Gayong PASAK Singapura dan PLKU dan juga Ujian kenaikan bengkong hitam berjalan dengan lancar. Atas kehendak Allah S.W.T yang mempertemukan PASAK dan PLKU menjadi satu sejarah PLKU yang penting kepada jurulatih dan ahli serta kepada pengukuhan perjuangan gayong. Program yang berlangsung selama 2 hari di PLKU ini melibatkan rombongan guru lama PASAK Singapura yang diketuai sendiri oleh Cikgu/Abang Rahim Husain (anak kandung kepada arwah Pak Husain Kaslan), Cikgu/Abang Salleh, Cikgu/Abang Abdullah, CIkgu/Abang Zainuddin, Cikgu/Abang Awang dan Cikgu/Kak Mai. Pengisian pada hari pertama adalah lebih kepada bagaimana perjuangan PASAK di Singapura dari dulu hingga sekarang, penerbitan sebuah jilid khas mengenai PASAK dan kesukaran yang dihadapi PASAK bagi mengembangkan ilmu gayong di kota Singa itu. Rombongan guru lama itu juga menceritakan detik-detik manis bersama arwah Pak Husain Kaslan.
Pada hari kedua, program ini diisi dengan ujian kenaikan bengkong hitam bagi jurulatih yang layak. Seramai 24 orang gurulatih dan jurulatih yang diketuai oleh Cikgu Idris sendiri telah menjalani latihan intensif selama hampir 9 bulan bagi menghadapi ujian ini. Latihan intensif/khas itu dikendalikan sendiri oleh Cikgu/Dato' Saharuddin mengikut pelajaran yang diterima oleh beliau melalui arwah Pak Husain Kaslan pada suatu ketika dahulu. Peserta diuji mengikut silibus yang ditetapkan dan diuji sendiri oleh Cikgu/Abang Rahim Husain dibantu oleh Cikgu/Kak Mai. Pahit getir selama 9 bulan menjalani latihan intensif akhirnya terbalas dengan kesemuanya lulus ujian pada hari tersebut. Semoga pemegang bengkong Hitam Pelangi Chula Sakti ini menjalani amanah dengan baik seperti mana yang telah disampaikan amanat oleh Cikgu/Abang Rahim. Majlis yang berlangsung dari awal pagi hingga ke petang itu ditutup dengan penyampaian bengkong dan sandang. Suasana hiba dan sebak apabila guru lama berpelukan antara Cikgu/Dato' Saharuddin dan rombongan PASAK yang mana pernah menjadi rakan segelanggang semasa Cikgu/Dato' Saharuddin berguru di Singapura. Insyaallah dengan pertemuan ini, hubungan silaturahim akan terus terjalin. (rombongan PASAK turut disertai wakil dari PASAK Melaka).






























No comments: