Kunjungan Silaturrahim ke Pertubuhan Seni Gayong Serantau Malaysia - Gelanggang Chukai Utama, Kemaman, Terengganu.

15/12/2012 (Sabtu) -  Rombongan seramai 5 orang sebagai mewakili KSG-PLKU telah melakukan kunjungan/ziarah ukhwah ke salah satu daripada gelanggang Pertubuhan Seni Gayong Serantau Malaysia (PSGSM) di Taman Chukai Utama, Kemaman, Terengganu.

Rombongan telah bertolak dari pusat latihan KSG-PLKU dengan satu kereta pada jam 2.30ptg Jumaat (14/12/2012) dan tiba di gelanggang Taman Chukai Utama, Kemaman tersebut pada jam 8.30mlm. Wakil KSG-PLKU terdiri daripada:
  1. Cikgu Idris Bin Shaffiee (Pengerusi KSG-PLKU)
  2. Cikgu Rashidah Binti Mustafa (Setiausaha KSG-PLKU)
  3. Hishamuddin Abdul Hamid (Exco Penerangan KSG-PLKU)
  4. Mohd. Haron Bin Togimin (Exco Kegurulatihan KSG-PLKU)
  5. Mohd. Khairy (Wakil Gelanggang PLKU-UKM)
Ketibaan wakil KSG-PLKU pada malam Sabtu telah disambut dengan penuh ukhwah & kemesraan oleh:
  1. Cikgu Mustafa Bin Yusoff (Pengerusi PSGSM)
  2. Cikgu Mohd. Rozi Bin Awang Bakar (Timbalan Pengerusi PSGSM)
  3. Cikgu Mohd. Soufi Bin Mohd. Noor (Bendahari PSGSM)
  4. Cikgu Khairul Niza Bin Mohd (AJK PSGSM)
Dari kiri: Cikgu Mustafa, Cikgu Mohd. Rozi, Cikgu Mohd. Soufi & Cikgu Khairul Niza

Demo Silat KSG-PLKU di Karnival Bakat MyGempak 2012 JKKN/RTM N.Sembilan

 
13/12/2012 (Khamis) - KSG-PLKU telah sekian kalinya dijemput oleh JKKN untuk mempersembahkan demonstrasi Silat Seni Gayong bagi memeriahkan lagi program Karnival Bakat MyGempak 2012 yang telah dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN) dan Radio Televisyen Malaysia, Negeri Sembilan (RTM).


Team demo Silat Seni Gayong Malaysia (KSG-PLKU) telah membuat persembahan demonstrasi Silat Seni Gayong Malaysia di kawasan pentas/pameran di lobi Kompleks Penyiaran RTM, Negeri Sembilan di Sg. Gadut, Senawang, N. Sembilan sempena Karnival Bakat MyGempak JKKN/RTM.

Team demo KSG-PLKU telah membuat persembahan pada jam 4.30ptg dengan masa persembahan selama lebih kurang 15 minit.

Antara demonstrasi Silat Seni Gayong Malaysia KSG-PLKU yang dipersembahkan dalam program tersebut adalah seperti berikut:
  1. Seni Tari Solo - Cikgu Rashidah Mustafa (PLKU Dewasa)
  2. Pentas Pisau - Khairunnazrin dan Mohd. Khairy (UKM)
  3. Pentas Belantan - Hishamuddin dan Cikgu Rashidah (PLKU Dewasa)
  4. Pentas Keris - Mohd. Khuzaidi dan Wan Azman (UKM)
  5. Lompatan Anak Harimau - Halangan Anak Kambing, Rukuq dan Pagar
  6. Senaman/Gulongan 10 berkumpulan
Demonstrasi silat tersebut juga telah mendapat liputan media di mana team demo KSG-PLKU telah diminta untuk mempersembahkannya sekali lagi untuk disiarkan secara lintas langsung ke seluruh negara melalui Berita Jam 5 petang oleh RTM 1 pada hari yang sama.

Lintas langsung Berita Jam 5 RTM

Team demo KSG-PLKU ketika bersedia untuk lintas langsung Berita Jam 5, RTM

Team demo KSG-PLKU di lobi kompleks selepas persembahan

 Bergambar kenangan bersama artis remaja Najwa Latif

Majlis Pencak Silat Kunci Melayu Kesatria Warisan Malaysia - Jemputan Demonstrasi Silat Seni Gayong Malaysia KSG-PLKU

 SSKMKWM

Malam tadi, Sabtu, 8hb. Disember, 2012; KSG-PLKU bersama-sama dengan sepasukan pelatih-pelatih silat dari pelbagai gelanggang naungannya (Gelanggang Dewasa KSG-PLKU, UKM, UNITEN dan Maahad Al-Abbassiah, Sungkai, Perak) telah hadir bagi memenuhi jemputan mempersembahkan demonstrasi Silat Seni Gayong Malaysia di majlis Pencak Silat Kunci Melayu Kesatria Warisan Malaysia bertempat di Gelanggang Utama SSKMKWM, Sungai Merab, Bangi, Selangor.


Barisan pemimpin SSKMKWM tetamu-tetamu utama

Majlis tersebut telah dimulakan pada lebih kurang jam 9.00 malam dengan persembahan demonstrasi Silat di dahului oleh pasukan demo tuan rumah iaitu SSKMKWM, termasuklah oleh pasukan-pasukan demo SSKMKWM dari gelanggang-gelanggang cawangannya di seluruh Malaysia.
 
 Barisan pasukan demonstrasi dari persilatan lain

 Demonstrasi pembukaan oleh pasukan tuan rumah

Pasukan demonstrasi
Silat Seni Gayong Malaysia KSG-PLKU telah memulakan aksi persembahan mereka sejurus tamatnya persembahan pertama dari SSKMKWM iaitu pada kira-kira jam 10.56 malam. Antara demonstrasi Silat Seni Gayong Malaysia KSG-PLKU yang telah dipersembahkan dengan mantap dan jayanya semasa majlis tersebut, adalah seperti berikut:

  1. Seni Tari Solo - Ahmad Ridzuan (PLKU Dewasa)
  2. Pentas Sembat Sok - Nazran dan Anuar (PLKU Dewasa)
  3. Seni Tari Keris Solo - Cikgu Haron (PLKU Dewasa)
  4. Pentas Belantan - Md. Ruzaini (PLKU Dewasa) dan Md. Izzudin (Maahad Al-Abbassiah)
  5. Pentas Pisau - Wan Azman dan Khuzaidi (UKM)
  6. Pentas Parang - Wan Haswazer (PLKU Dewasa) Khuzaidi (UKM)
  7. Pentas Lembing - Cikgu Aqtar dan Cikgu Ahmad Muzammel (PLKU Dewasa)
  8. Lompatan Anak Harimau - Halangan Anak Kambing, Halangan Rukuq dan Lenting Dahan
  9. Senaman / Gulongan 10 Berkumpulan
Demonstrasi turut diiringi dengan alunan tiupan serunai, paluan gong dan gendang silat sepanjang majlis berlangsung. Admin difahamkan bahawa terdapat 10 pertubuhan/persatuan silat lain yang dijemput oleh SSKMKWM  telah menghantar pasukan demo silat masing-masing, untuk turut menjayakan majlis malam tadi.

Mengimbas kembali,
KSG-PLKU juga pernah mengadakan Majlis Himpunan Pencak Silat seperti ini pada bulan Mac, 2012 lepas yang dinamakan sebagai HIMPUNAN WAJADIRI PLKU - 2012 dengan menjemput dan menyusun acara demonstrasi silat dari pelbagai pertubuhan silat lain yang terdapat di sekeliling kawasan Hulu Langat, termasuklah SSKMKWM.


Saksikan rakaman persembahan demonstrasi Silat Seni Gayong Malaysia KSG-PLKU tersebut yang telah dimuat naik oleh saudara Wan Haswazer di YouTube.
Sila klik pautan ini: Video Demo KSG-PLKU di Majlis Pencak Silat SSKMKWM 2012.

UJIAN KENAIKAN BENGKONG PELANGI KUNING KSG-PLKU

Bengkong Pelangi Kuning

Bengkong Pelangi Kuning Chula 1-5

Pada hari Ahad, 2hb. Disember 2012, jam 9.00 pagi; satu program Ujian Kenaikan Bengkong telah diadakan untuk menilai kemantapan dan kelayakan anak-anak gayong KSG-PLKU pemegang Bengkong Pelangi Merah Chula bagi dinaikkan taraf mereka untuk memakai Bengkong Pelangi Kuning, Silat Seni Gayong Malaysia.



 






Seramai lapan (8) orang anak gayong KSG-PLKU telah diuji, masing-masing dari gelanggang UKM, Maahad Al-Abbassiah, Sungkai, Perak dan SK Abdul Rahman, Lancang, Pahang. Mereka telah diuji oleh Cg. Ahmad Muzammel (Pelangi Hitam Harimau Chula Sakti 1), gurulatih gelanggang gayong CFS-IIUM di padang hoki Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor.

Penilai/Penguji
Cikgu Ahmad Muzammel


Program ujian tersebut telah menyaksikan kemantapan anak-anak gayong yang bersungguh-sungguh mempersembahkan permainan senjata & gerakan gayong bagi membuktikan bahawa mereka kini sudah layak untuk diiktiraf memakai bengkong ditahap yang lebih tinggi. Antara ujian yang telah dijalankan adalah gerakan, buah dan tempur tangan kosong;  gerakan, buah dan pentas senjata, sparring, lompatan rukuq sehinggalah pemecahan genting simen empat (4) penjuru sebagai penamat ujian fizikal & ujian akhiri dengan sesi menjawab kertas soalan subjektif berkaitan ilmu & adat istiadat Silat Seni Gayong Malaysia.

Semoga berjaya kami ucapkan kepada kesemua mereka yang telah menjalani ujian tersebut. Majlis pemakaian Bengkong Pelangi Kuning & penyerahan sijil kenaikan bengkong bagi mereka yang lulus ujian ini akan diadakan pada penghujung bulan Januari, 2013 akan datang. InsyaAllah!..

PEMANTAPAN PENGURUSAN PERSATUAN SILAT


LANGKAH PERLU DALAM MENDEPANI CABARAN MODEN
Oleh: Aqtar Fariq Syahril Othman (Timb. Pengerusi KSG-PLKU)
(Artikel ini adalah bagi terbitan majalah Seni Beladiri, Disember 2012)




Silat telah wujud di alam Melayu sejak abad ke 7 masihi lagi dan telah menjalani proses perkembangan secara evolusi. Di Malaysia sahaja, sehingga kini terdapat tidak kurang daripada 500 jenis silat yang berjaya dikesan. Walaupun jumlahnya begitu banyak, namun tidak banyak persatuan silat yang boleh berdiri sebaris dengan nama seni beladiri yang lain.


Dalam mendepani cabaran kini, penggerak Silat harus menyedari hakikat bahawa silat perlu digerakkan secara lebih sistematik. Silat perlu digerakkan secara berorganisasi, perlu ditonjolkan dan keluar daripada kepompongnya sendiri. 

Untuk menarik minat anak-anak muda, silat perlu berubah seiring peredaran zaman. Atas dasar itulah, Kelab Silat Gayong PLKU diwujudkan. Bertempat di Taman Kajang Utama, Kelab Silat Gayong PLKU telah diasaskan pada 26 Mac 2004 dan berdaftar dengan Akta Pesuruhjaya Sukan (APS).  Kelab ini bergerak aktif di Daerah Hulu Langat. Sehingga kini, Kelab Silat Gayong PLKU telah mempunyai sebanyak 35 gelanggang dan keahlian melebihi 1025 orang (tahun 2012).


Kelab ini telah menganjurkan pelbagai program sejak ditubuhkan. Antaranya, pengambilan ahli baru, ujian kenaikan bengkong, Himpunan Wajadiri, pertandingan silat, kursus-kursus, bengkel dan seminar selain daripada memenuhi permintaan demonstrasi silat untuk majlis formal dan kenduri kahwin.

Pada tahun 2012, Kelab Silat Gayong PLKU telah diberi pengiktirafan sebagai Pemenang Anugerah Sukan Untuk Semua (ASUS) bagi Kategori Pertubuhan Sukan Peringkat Negeri Selangor.

Penganugerahan tersebut adalah bagi memberi pengiktirafan terhadap pencapaian Kelab Silat Gayong PLKU atas sumbangan yang cemerlang dalam pembangunan sukan di Negeri Selangor. 

Hadiah telah disampaikan oleh Y.Bhg Tn Hj Makhruzi bin Hj Iksan, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor pada 1 Disember 2012 bertempat di Cahaya SPK Resort Club, Shah Alam. Hadiah berupa sijil dan wang tunai. 

Pengiktirafan ini merupakan satu penghargaan terhadap usaha KSG-PLKU dalam mengembangkan Silat Seni Gayong Malaysia di Negeri Selangor khususnya. 

Semoga usaha murni Kelab Silat Gayong PLKU akan dapat dicontohi oleh persatuan-persatuan silat yang lain.

Anugerah Sukan Untuk Semua (ASUS 2012). KSG-PLKU Di Iktiraf Terbaik Selangor


Pada tanggal 1hb. Disember, 2012 (Sabtu) yg lalu, Kelab Silat Gayong PLKU telah dianugerahkan sebagai pemenang kategori Pengurusan & Persatuan Sukan Terbaik didalam Majlis Anugerah Sukan Untuk Semua (ASUS 2012), Kementerian Belia & Sukan Malaysia bagi peringkat Negeri Selangor yang telah berlangsung di Shah Alam, Selangor. 

Anugerah Sukan Untuk Semua (ASUS) merupakan satu pengiktirafan Kerajaan Malaysia kepada individu dan organisasi yang telah berjasa dan memberikan sumbangan yang cemerlang dalam pembangunan Sukan Untuk Semua. Jenis sukan yang diberi pengiktirafan ini merangkumi Sukan Kecergasan, Sukan Paralimpik, Sukan Rekreasi, Sukan Seni Mempertahankan Diri dan Sukan Tradisional.

Anugerah telah disampaikan oleh Pengarah Jabatan Belia Negeri Selangor, Tuan Haji Makhruzi b. Haji Iksan kepada wakil KSG-PLKU iaitu Cikgu Aqtar Fariq Syahril Othman, Timbalan Pengerusi KSG-PLKU. Anugerah tersebut adalah berupa Sijil/Watikah Penganugerahan dan wang tunai sebanyak RM5000.00 (sebagai bentuk bantuan aktiviti kepada persatuan).




Cikgu Aqtar Fariq Syahril Othman juga telah mengetuai majlis dalam bacaan doa selamat sebelum program bermula. Majlis penyampaian anugerah tersebut juga telah dimeriahkan lagi dengan persembahan demonstrasi Silat Seni Gayong Malaysia oleh anak-anak gayong KSG-PLKU (UKM).

Tahniah kepada sekelian ahli-ahli pengurusan KSG-PLKU dan sekelian anak-anak gayong KSG-PLKU dari semua gelanggang (Awam, Montessori, SK, SMK, UNITEN, UKM, GMI, UC-Linton, IPIK, IPIS & Dewasa PLKU).

Kejayaan ini menuntut kita untuk bersama-sama berterusan berusaha mengekalkan prestasi dalam semangat kekeluargaan akrab sediada dan bersungguh-sungguh memartabatkan Silat Seni Gayong Malaysia melalui KSG-PLKU ke peringkat tertinggi tanahair & antarabangsa disamping menjadi contoh & tauladan yang baik kepada persatuan-persatuan silat lain di Malaysia ini. InsyaAllah. Amin.