
2hb. Oktober, 2010
PM terharu, anggap anugerah Silat Seni Gayong suatu penghormatan besarKUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak pada Sabtu lepas menerima penganugerahan
Sandang Mahkota Agung Seri Bintang Pelangi Imam Khalifah Agung Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) Kebangsaan.Sandang kebesaran itu tergolong dalam susunan Sandang Kehormat di mana ia hanya dianugerahkan kepada Raja-Raja Melayu, pemimpin tertinggi negara atau negeri bagi melambangkan ketaatan murid dan ahli Silat Seni Gayong kepada kepemimpinan mahu pun kedau-latan negara.
Perdana Menteri berkata, beliau berasa amat terharu dan menyifatkannya sebagai satu penghormatan sangat besar kepada dirinya. “Jika saya dengan izin Allah dapat menjejak langkah Allahyarham ayahanda saya (Tun Abdul Razak Hussein) sebagai Perdana Menteri Malaysia, maka hari ini saya menjejak langkahnya untuk dinobatkan sebagai Imam Khalifah Agung PSSGM Kebangsaan.
“Ini adalah suatu amanah penting yang saya pikul. Mudah-mudahan saya dapat menyumbang kepada kejayaan PSSGM pada masa akan datang. Saya ingin melihat Gayong Malaysia terus maju dan berjaya,” katanya berucap merasmikan Majlis Perdana Gayong PSSGM dan Sambutan Hari Raya bersama Perdana Menteri serta penganugerahan sandang kebesaran itu di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya di sini, semalam.
Turut hadir
Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Penaung Agung PSSGM Kebangsaan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Yang Dipertua PSSGM, Datuk Adiwijaya Abdullah.
Dalam pada itu, Najib berkata, kehadirannya ke majlis berkenaan adalah sebagai pengiktirafan kerajaan terhadap PSSGM yang sudah banyak berjasa dalam usaha bersama membangunkan negara ini.
“Melihat anak-anak muda di hadapan saya yang berbaju hitam di atas padang ini, seolah-olah saya berhadapan dengan sebuah angkatan anak Melayu yang bersedia menghadapi apa juga rintangan yang mungkin mencabar kedaulatan negara kita.
“Saya menganggap Silat Seni Gayong sebagai satu daripada angkatan penting dalam struktur pertahanan negara. Jika Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia menjadi barisan pertama dan Askar Wataniah barisan kedua, maka
ahli Gayong bolehlah dianggap sebagai barisan ketiga yang sanggup menyumbang bukan saja kudrat dan tenaga, hatta nyawa sekali pun sekiranya negara kita diserang musuh durjana.
“Semangat seperti inilah yang saya anggap sebagai satu nilai amat baik dan positif yang dapat kita pupuk melalui pembabitan dalam PSSGM. Semangat seperti ini bukan bertujuan untuk kita mengancam sesiapa atau melakukan provokasi terhadap mana-mana pihak. Nilai seperti ini adalah penting untuk kita membina dan memupuk kekuatan dalaman, khususnya kepada bangsa Melayu,” katanya.
Beliau berkata, kekuatan dalaman menuntut pengamal silat itu menghayati serta mengamalkan nilai sejati yang sinonim dengan warisan pusaka PSSGM.